• Anggota Parlimen Baling selaku Ketua UMNO bahagian, Datuk Abd Azeez Abd Rahim (kanan) hari ini melawat empat pelajar dari Kampung Bukit Rawa yang dilaporkan hilang pada petang hari raya korban Aidil Adha. Mereka ditemui selamat di kawasan hutan kira-kira tiga kilometer dari kampung Bukit Rawa, Sedim di sini hari ini. - Foto Bernama

BALING - Polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun  yang terbabit membawa empat pelajar dari Kampung Bukit Rawa, Sedim ke dalam hutan simpan Gunung Inas dekat sini pada petang Aidiladha Selasa lalu.  


Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Asisten Superintendan Md Nazir Osman berkata, lelaki berkenaan ditahan di kawasan rumah keluarganya di Kampung Sungai Buluh, Karangan dekat sini jam 12.30 tengah hari tadi.

Lelaki itu dipercayai membawa empat pelajar memasuki kawasan hutan di Bukit Wang Kerbau berhampiran kaki Gunung Inas di sini Selasa lepas.    

Empat pelajar itu yang kemudiannya dilaporkan hilang ditemui dalam keadaan selamat petang semalam.    

Mereka iaitu Mohd Hafiz Ridzuan, 14, Ahmad Mohamad Md Dahari, 11, dan Rohaizat Jamaluddin, 10, ditemui di Lata Lubuk Buluh pada jam 6.45 petang kira-kira enam kilometer dari kaki gunung tersebut.

    
Seorang lagi mangsa iaitu kakak kepada Ahmad Mohamad, Aina Nadia, 13, ditemui dalam keadaan pengsan dan dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan.
    
Penduduk dan waris kepada empat pelajar berkenaan bersyukur dengan tertangkapnya lelaki berkenaan yang menyebabkan anak-anak mereka terpedaya dengan helah lelaki itu untuk membawa pelajar berkenaan masuk ke dalam hutan Simpan Gunung Inas kononnya untuk menjerat monyet.
    
Md Dahari Jahaya, 57, bapa dua mangsa tersebut berkata, dia bersyukur dengan tertangkapnya lelaki itu.
    
"Saya serahkan kepada pihak berkuasa dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari anak saya sepanjang mareka berada dalam hutan Simpan Gunung Inas," katanya.
    
Sementara itu Anggota Parlimen Baling, Datuk Abd Azeez Abd Rahim mahu empat pelajar berkenaan mendapatkan rawatan segera di Hospital Daerah Baling hari ini walaupun mereka ditemui selamat.
    
"Saya bimbang kerana mereka semalaman dalam hutan, tidak tidur kerana ketakutan dan tidak mendapat makanan semalaman hingga ditemui. Dibimbangi akan dijangkiti penyakit dari gigitan nyamuk semasa berada dalam hutan berkenaan," katanya.
    
Salah seorang mangsa, Mohd Hafiz berkata, mereka tidak tidur semalaman kerana ketakutan dan sering menerima arahan lelaki itu supaya tidak bergerak jika tidak mendapat arahan darinya.
    
"Kami hanya minum air parit untuk menahan lapar kerana sewaktu mengikuti lelaki itu kami tidak makan nasi selain makan ketupat dan lemang sahaja," katanya. - Bernama

Sinar Harian 18 Oktober 2013


‘Nampak bayang dalam gelap’


Oleh Safuri Kamarudin


Baling: “Saya terdengar bunyi seperti orang berjalan dan nampak bayang-bayang mereka di dalam gelap lalu memaklumkan kepada rakan yang duduk di atas dangau di dalam dusun buah di hutan itu.
“Saya menyuluh ke arah mereka dan ternampak kanak-kanak berkenaan berjalan keluar dalam keadaan letih lalu memberi bantuan dengan menghantar seorang mangsa dengan motosikal ke Pusat Kawalan Operasi kira-kira dua kilometer dari lokasi itu,” kata Mohd Fakruddin Johari, 14, apabila dia bersama rakannya, Fazrul Aiman Mohd Noor, 15, menemui empat kanak-kanak yang dilaporkan hilang ketika turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat di Hutan Simpan Gunung Inas, Lata Sedim, kelmarin.

Mohd Fakruddin berkata, dia membawa Ainaanadia keluar terlebih dahulu kerana mendapati keadaannya lemah dan muntah, manakala rakannya menjaga tiga lagi kanak-kanak itu.


Menurutnya, pada masa yang sama, lelaki yang dipercayai membawa masuk kanak-kanak itu melarikan diri melalui jalan pintas lain untuk keluar ke kampung kerana dipercayai bimbang ditahan oleh pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, saya dan rakan cepat-cepat membantu untuk membawa mereka keluar dan memaklumkan kepada pusat operasi mengenai penemuan itu sebelum semua kanak-kanak terbabit dihantar ke hospital Kulim (HK) untuk pemeriksaan,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Rawa, Sedim, di sini, semalam.


Fazrul Aiman berkata, dia mengendong seorang kanak-kanak itu sementara menunggu bantuan kerana keadaannya juga lemah dan tidak berdaya untuk berjalan.


“Saya bersyukur kerana dapat membantu mereka yang dianggap seperti keluarga kerana kami juga tinggal sekampung.

“Inilah pengalaman pertama menyelamat mangsa tersesat di hutan dan gembira kerana mereka semua selamat,” katanya.


Sementara itu, bapa mangsa, Mat Dahari Jahaya, 57, berkata, dia bersyukur kerana kedua-dua anaknya selamat dan sihat kerana tidak lena tidur apabila memikirkan nasib anak yang tersesat di dalam hutan simpan itu.

“Saya hanya mampu berdoa semoga anak selamat dan akhirnya Allah memakbulkan doa itu kerana keempat-empat mereka ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.


Harian Metro 18 Oktober 2013


Pelajar cerita saat cemas 

bermalam dalam hutan



















Abdul Azeez Abdul Rahim (kanan) bertanyakan sesuatu kepada (dari kiri) Ainaa Nadia Mat Dahari, Mohd. Hafiz Ridzuan, Ahmad Mohamad Mat Dahari dan Rohaizat Jamaluddin di Baling, Kedah, semalam.

BALING 17 Okt. - Seorang pelajar tingkatan dua yang dilarikan seorang lelaki ke kawasan hutan di kaki Gunung Inas di sini kelmarin bersama tiga rakannya, menceritakan mereka terpaksa bermalam dalam keadaan sejuk dan lapar.

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labu Besar, Mohd. Hafiz Ridzuan, 14, berkata, ketika itu pelbagai perkara buruk bermain dalam fikiran termasuk sekiranya terdapat binatang buas.

"Bagaimanapun saya terpaksa memberanikan diri untuk menjaga dan menenangkan ketiga-tiga rakan sepanjang malam," katanya ketika ditemui di sini.

Rakannya, Ainaa Nadia Mat Dahari, 14, pula memberitahu, dia merasa takut sepanjang berada di dalam hutan yang gelap dan teringatkan ibu dan bapa.

"Kami tidur di atas tanah semalaman dan amat takut serta berdoa semoga kami segera ditemui. Saya juga risau akan diapa-apakan oleh lelaki itu," katanya.

Dalam kejadian itu, dua pelajar sekolah menengah dan dua murid dilarikan seorang lelaki yang dikenali sebagai 'Datuk' Mansor ke sebuah kawasan hutan di kaki Gunung Inas, setelah memperdaya mereka untuk mengikutnya kononnya untuk menangkap beruk.

Kesemuanya iaitu Mohd. Hafiz, Ainaa Nadia, adiknya, Ahmad Mohamad, 11, dan Rohaizat Jamaluddin, 10, bagaimanapun ditemui dalam keadaan selamat oleh pasukan keselamatan yang melancarkan gerakan mencari, pukul 7.30 malam tadi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ketika melawat mangsa bersyukur dan berterima kasih kepada anggota pasukan keselamatan serta penduduk yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.

"Saya bimbang dengan keselamatan mereka sekiranya terjadi apa-apa yang buruk," katanya.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, Asisten Supritendan Nazir Osman ketika dihubungi mengesahkan suspek ditahan polis di rumahnya, pukul 12.30 tengah hari ini.


Utusan Malaysia 18 Oktober 2013