•  Penduduk sekitar turut membantu mencari kanak-kanak terbabit. 
  • Gambar kecil: Ainaadia dan Mohd Hafiz.

BALING - Empat kanak-kanak berusia 10 sehingga 14 tahun hilang di dalam Hutan Simpan Gunung Inas dipercayai dibawa seorang lelaki yang juga penduduk tempatan.

Ainaadia Mat Dahari, 13, bersama adiknya, Ahmad Mohamad Mat Dahari, 11, dan dua rakan, Mohd Hafiz Rizuan, 14, serta Rohaizat Jamaludin, 10, dilaporkan hilang kira-kira jam 5 petang, kelmarin.

Menurut sumber, mereka termasuk dua lagi rakan sebaya yang lain mengikut lelaki yang kononnya ingin membawa mereka menjerat burung di dalam hutan tersebut.

Bagaimanapun, dua rakan kanak-kanak itu mula risau setelah memasuki kawasan hutan dan nekad pulang ke rumah masing-masing sebelum memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarga.

Salah seorang bapa mangsa, Mat Dahari, 57, dari Kampung Bukit Rawa, Sedim berkata, sebelum kejadian, dua anaknya, Ainaadia dan Ahmad Mohamad keluar rumah untuk menyambut ibadah korban.

Menurut Mat Dahari, anak-anaknya itu biasanya akan pulang ke rumah awal untuk menunaikan solat di surau berdekatan rumahnya.

“Saya mula risau setelah mereka masih tidak pulang walaupun hampir Maghrib. Saya kemudiannya memaklumkan kepada orang kampung.

“Ketika itu, barulah kawan-kawan anak saya beritahu mereka ikut seorang lelaki untuk menjerat burung di dalam hutan,” katanya.

Susulan itu, dia membuat laporan polis pada jam 10 malam kelmarin berikutan bimbang dengan keselamatan anak-anaknya termasuk dua rakan mereka yang hilang.

Seorang lagi waris kanak-kanak terbabit, Rizuan Md Bim, 38, juga dari Kampung Bukit Rawa berkata, anaknya, Mohd Hafiz, seorang yang sangat mudah mesra dengan orang ramai.

“Kejadian ini mula disedari selepas dia (Mohd Hafiz) tidak pulang ke rumah. Saya mula risau seterusnya memaklumkan kepada rakan-rakan yang lain. Ketika itu barulah saya tahu ada tiga kanak-kanak lain turut mengikut lelaki terbabit,” katanya.

Pada malam yang sama juga (malam kelmarin), penduduk kampung telah memulakan operasi mencari sebelum disambung semula semalam.

Turut bersama adalah anggota bomba dan penyelamat, pasukan polis bersama unit anjing pengesan, jabatan pertahanan awam termasuk anggota Rela.

Kira-kira 100 penduduk termasuk anggota keselamatan melakukan operasi mencari di sekitar termasuk di dalam hutan tersebut bermula jam 7 pagi, semalam.
Sehingga berita ini ditulis, keempat-empat kanak-kanak itu masih belum ditemui.

Sinar Harian 17 Oktober 2013



Empat pelajar hilang ditemui


BALING - Empat pelajar sekolah di Kampung Bukit Rawa, Sedim di sini yang dilaporkan hilang kelmarin setelah dibawa oleh seorang lelaki bergelar Datuk memasuki kawasan hutan di Bukit Wang Kerbau berhampiran kaki Gunung Inas di sini dijumpai semula semalam.

Mohd. Hafiz Ridzuan, 14, Ahmad Mohd. Mat Dahari, 11, dan Rohaizat Jamaluddin, 10, ditemui dalam keadaan selamat di Lata Lubuk Buluh pada pukul 7.30 malam kira-kira enam kilometer dari kaki gunung itu.

Kakak Ahmad Mohd., Ainna Nadia, 13, pula ditemui dalam keadaan pengsan dan dibawa ke Hospital Kulim untuk rawatan.

Bagaimanapun lelaki yang bergelar Datuk itu masih belum ditemui.

Kosmo 17 Oktober 2013