Sunday 3 November 2013

Teknologi Maklumat & Komunikasi-Apa itu Animasi?



Filem Animasi Pertama Di Dunia 1908


APA ITU ANIMASI

Apa Itu Animasi ? Animasi ialah pertunjukkan pantas urutan imej-imej statik 2-D atau 3-D untuk mewujudkan ilusi pergerakan. Animasi akan meninggalkan kesan ilusi optik pergerakan disebabkan oleh fenomena pengekalan penglihatan, dan boleh ditunjukkan dan dilakukan dalam beberapa cara. Kaedah yang paling kerap digunakan ialah membentangkan animasi sebagai program wayang gambar ataupun video.


Pergerakan animasi bola melompat di atas ialah gabunan daripada gambar-gambar di bawah.


SEJARAH ANIMASI

Sebuah mangkuk berusia 5000 tahun di temui di Shahri Sokhta mempunyai lima imej kambing yang dilukis di keliling mangkuk tersebut. Ia dikatakan sebagai contoh animasi terawal. Walaupun begitu, oleh kerana tiada alat yang dapat menunjukkan ia sebagai satu animasi pada waktu tersebut, satu siri imej seperti itu tidak dapat dipanggil sebagai satu animasi kerana bercanggah dengan maksud sebenar animasi.


ZOETROPE - TAHUN 1834

Zoetrope ialah sebuah alat yang akan menghasilkan ilusi berikutan daripada pusingan turutan imej-imej statik.

Zoetrope ialah istilah dalam bahasa yunani, dimana 'zeo' bermaksud 'hidup' manakala 'tropes' bermaksud 'pusingan'. Zoetrope juga mungkin bermaksud 'roda kehidupan'.

Zoetrope berbentuk silinder dimana bahagian sisinya mempunyai belahan secara menegak. Di bahagian bawah belahan tersebut mempunyai urutan imej-imej statik. Semasa ia berputar, pengguna akan melihat sebuah animasi melalui putaran belahan di sisi Zoetrope.

TAUMATROPE - TAHUN 1824

Taumatrope ialah satu mainan yang popular di zaman Victoria. 

Satu cakera atau kad yang mempunyai lukisan di kedua-dua permukaan diikat di sisi yang bertentangan menggunakan dua utas benang atau getah.

Hujung benang/getah tersebut masing-masing akan diikat pada jari tangan kiri dan jari tangan kanan. Apabila benang/getah tersebut telah tegang hasil daripada pusingan kad , kedua jari tangan kiri dan kanan akan menegangkan lagi benang/getah tersebut maka akan terhasil satu animasi hasil daripada penglihatan yang berterusan.

PHENAKISTOSCOPE - TAHUN 1831

Phenakistoscope menggunakan satu cakera yang dilekatkan secara menegak pada satu pengendali. Di sekeliling cakera tersebut dilukis imej-imej statik dan juga belahan secara menegak.

Pengguna akan memutarkan cakera tersebut, dan melihat melalui belahan di belakang cakera, animasi terhasil daripada pantulan imej di cermin yang diletakkan bertentangan dengan hadapan cakera.

Variasi - evolusi dalam alat animasi Phenakistoscope seterusnya dibuat tanpa memerlukan cermin untuk melihat animasi. 
Ia hanya memerlukan dua cakera, dimana satu mempunyai lukisan imej-imej statik di sekeliling manakala satu lagi mempunyai belahan secara menegak.

Dua cakera ini diputarkan secara bertentangan - satu diputar kiri, satu lagi diputar kanan, dan pengguna akan melihat animasi melalui cakera yang mempunyai belahan. 

BUKU SELAK (FLIP BOOK) - TAHUN 1868

Buku Selak ialah sebuah buku yang mempunyai siri gambar yang berbeza secara beransur-ansur dari satu halaman ke halaman yang seterusnya. Apabila halaman buku tersebut diselak secara pantas, sebuah simulasi pergerakan atau perubahan lain akan kelihatan.

Buku Selak sering dikaitkan sebagai buku kanak-kanak, tetapi ia juga boleh digunakan oleh orang dewasa untuk menghasilkan satu hasil seni melalui simulasi pergerakan.

PRAXINOSCOPE - TAHUN 1877

Praxinoscope ialah satu variasi yang berkembang daripada alat Zoetrope. Ia dicipta oleh Charles-Émile Reynaud di Perancis. 

Praxinoscope sama seperti Zoetrope, mempunyai lukisan di sepanjang bahagian dalam silinder dan juga memerlukan putaran untuk melihat. Tetapi pengguna tidak lagi perlu melihat melaui belahan yang sempit selepas diletakkan sebuah cermin bulat di tengah silinder untuk memantulkan pergerakan imej yang pantas dengan lebih jelas.

Pada tahun 1889, Reynaud mencipta satu alat yang digelar Teater Optik hasil dari variasi Praxinoscope yang menggunakan hukum pantulan cahaya.


Alat ini membolehkan beliau menunjukkan hasil simulasi pergerakan imej-imej kepada lebih ramai penonton pada satu masa berbanding Zoetrope yang hanya terhad kepada penonton yang dapat melihat di sekeliling silinder Zoetrope.

No comments: