Thursday 14 November 2013

Semua Orang Boleh Cemerlang- Tingkatkan Usaha & Doa!

TAK HADIR PENUH KE SEKOLAH TAPI DAPAT 5A
SINAR HARIAN

  • Tak hadir penuh ke sekolah tapi dapat 5A
  • Calon berkeperluan khas dari Sekolah Kebangsaan Ketereh, Amir Zuhaidi Razali (depan, kanan) yang mengalami sakit saraf di kaki kanan didukung ayahnya, Razali Harun, 44, (belakang, kanan) ketika mengambil keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah tersebut di Kota Bharu hari ini. - Foto Bernama

  • KOTA BHARU - Walaupun terpaksa 'ponteng' sekolah pada setiap Rabu, namun ia tidak menghalang anak seorang tukang rumah daripada memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.
      
    Amir Zuhaidi Razali tidak dapat hadir pada hari tersebut kerana terpaksa menjalani rawatan fisioterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian akibat kemalangan jalan raya yang dialaminya enam tahun lepas.
      
    Dia terpaksa menggunakan tongkat setiap kali ke Sekolah Kebangsaan Ketereh di sini dan menduduki UPSR sebagai calon berkeperluan khas.
      
    "Saya tidak menyangka mendapat 5A kerana sering tidak menghadiri sesi persekolahan ekoran rawatan saya," katanya ketika ditemui di sekolahnya.
      
    Anak keempat dari lapan beradik dari Kampung Hutan Pasir ini menghadiahkan kejayaannya kepada ibu bapanya yang bersusah-payah menghantarnya ke sekolah setiap hari.
      
    Bapanya Razali Harun, 44, berkata akibat kemalangan itu anaknya patah kaki kiri dan tercabut bahu kanannya.
      
    "Akibat kemalangan itu, Amir Zuhaidi dimasukkan ke hospital selama 10 hari. Setelah sembuh, dia diserang penyakit saraf kaki. Dia terpaksa ponteng sekolah sehari dalam seminggu untuk menjalani rawatan fisioterapi dan terpaksa  menggunakan tongkat untuk memudahkanya berjalan," katanya.
     
    Pada masa yang sama Razali berkata sehingga kini bil perubatan anaknya yang berjumlah RM1,500 masih belum mampu dijelaskannya walaupun anaknya mempunyai insurans berkelompok.
      
    "Mujur ada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM1,800 setahun untuk membiayai kos perubatan dan fisioterapi Amir Zuhaidi ketika ini," katanya. - Bernama

    Pengorbanan kejayaan UPSR

    BERITA HARIAN
    Foto
    Amir Zuhaidi didukung bapanya, Razali Harun selepas mendapat keputusan 5A di Sekolah Kebangsaan (SK) Ketereh, semalam.

    Kuala Lumpur: Mereka melangkah masuk ke sekolah masing-masing semalam dengan penuh debaran, tetapi beberapa ketika kemudian, beredar sambil tersenyum lebar.
    Wajah masing-masing girang ketika melihat keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013, namun di sebalik kejayaan yang dilakar, tersembunyi pelbagai kisah yang boleh dijadikan teladan. Di Kota Bharu, Amir Zuhaidi Razali, 12, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ketereh yang menghidap penyakit saraf akibat dilanggar lari ketika berusia enam tahun, tidak menjadikan kekurangan fizikal dan kewangan penghalang untuknya mendapat 5A. 

    Hadiah buat ayah
    “Saya sangat bangga dan menghadiahkan kejayaan ini buat ayah yang sanggup berulang-alik menghantar saya ke sekolah,” kata anak tukang rumah ini sambil menambah, walaupun sukar menulis dan tidak dapat aktif seperti rakan lain, dia tetap menguatkan semangat apatah lagi hanya mampu memperoleh 3A 2B dalam percubaan lalu.

    Di Shah Alam, kehidupan serba kekurangan dalam komuniti Orang Asli tidak menghalang Anisa Yahya dari SK Asli Bukit Cheding, muncul anak Orang Asli tunggal di Selangor mendapat 5A. 


    Anak bongsu daripada sembilan beradik itu tidak menyangka mampu cemerlang kerana jarang mengulangkaji di rumah. 

    “Untuk berjaya, saya mengamalkan sikap rajin bertanya apa yang tidak difahami, sentiasa memberi sepenuh perhatian apa yang diajar dalam kelas dan belajar secara berkumpulan,” katanya bercita-cita menjadi pereka fesyen.


    Di Port Dickson, Choi Kee Fong, 12, mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi calon tunggal UPSR di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Siliau dan berjaya pula mendapat 7A, kali pertama dalam sejarah sekolah berkenaan yang ketika ini hanya mempunyai 11 murid dari Tahun Satu hingga Enam.


    Anak pekebun sayur


    Anak kedua daripada empat beradik kepada pasangan pekebun sayur di Lukut ini, berkata banyak keistimewaan menjadi calon tunggal kerana dia yang diajar tujuh guru, mendapat tumpuan eksklusif dalam kelas walaupun tiada teman sekelas untuk belajar bersama.


    Di Alor Setar, beban penyakit buah pinggang sejak usia dua tahun yang memaksa Muhammad Zaim Mohd Zaidi, 12, sering bercuti sakit, langsung tidak menghalangnya memperoleh 5A, sekali gus muncul antara 43 pelajar cemerlang di Sekolah Rendah Islam Darul Aman (SRIDA) di sini.


    “Saya sering ponteng kerana sakit, terpaksa mengambil inisiatif sendiri mengulangkaji pelajaran sehingga lewat malam ketika di rumah. Saya bersyukur kerana rakan sekelas serta guru banyak membantu memberi tunjuk ajar.


    Saya sebenarnya tidak mahu memberi alasan sakit dan gagal dalam UPSR,” kata anak sulung daripada enam beradik ini.

    Dapat 5A walaupun ulang alik 500km ke hospital


    AINEEN Sofea Azhari menunjukkan sijil penghargaan yang diterimanya selepas mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR di Shah Alam, Selangor, kelmarin.

    KOTA BHARU 15 Nov. - Biarpun terpaksa berulang alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) yang terletak lebih 500 kilometer dari rumahnya di Puchong, Selangor, namun itu tidak menghalang seorang murid yang menghadapi masalah saraf tunjang kongenital mencipta kejayaan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.
    Murid Sekolah Kebangsaan Seksyen 1, Bandar Kinrara, Puchong, Selangor, Aineen Sofea Azhari, 12, mencatatkan keputusan 5A dalam peperiksaan tersebut walaupun terpaksa 'ponteng' sekolah semata-mata untuk mendapatkan rawatan.
    Dia yang dikategorikan sebagai pelajar kurang upaya (OKU) menghadapi masalah tersebut sejak dilahirkan dan menjalani rawatan susulan bermula tahun 2002 sehingga sekarang.
    Sepanjang tempoh tersebut, Aineen Sofea terpaksa mendapatkan rawatan susulan dengan pakar neurosains, pediatrik dan ortopedik bagi mengatasi masalah berkaitan.
    Penasihat Kelab Neurosains, Jabatan Neurosains Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Jafri Malin Abdullah melahirkan rasa gembira di atas kejayaan murid itu.
    Katanya, murid tersebut menunjukkan iltizam dan semangat yang tinggi biarpun dalam tempoh pembesarannya terpaksa berulang alik dari Puchong ke Kota Bharu bagi menjalani rawatan termasuk pelbagai pembedahan di HUSM.
    ''Namun, di atas semua dorongan dan perhatian yang diberikan termasuk keluarga dan warga hospital, dia mampu menjalani kehidupan sebagaimana orang lain," katanya.
    Semalam, Aineen Sofea menerima penghargaan daripada Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Mahmud Karim di Jabatan Pelajaran Negeri Selangor di Shah Alam.
    Sebagai murid yang menghadapi masalah Spinal Dysraphism, kata Jafri Malin, kejayaan memperoleh 5A sungguh membanggakan.





    No comments: